Enggan Komen Tentang Kandungan, Diana Danielle Tiada Niat Larikan Diri - PUTRAJAYA : Pelakon jelita Diana Danielle enggan memberikan komen lanjut mengenai kehamilannya sejak mengumumkan berita itu di laman sosial Instagram baru-baru ini.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 21, berkata, dia tidak berniat untuk melarikan diri daripada pihak media bagi menjawab pelbagai soalan mengenai kehamilannya kerana menganggap apa yang diumumkan sebelum ini sudah cukup menjelaskan keadaannya sekarang.
“Jangan marah-marah ya.. Saya suka berkongsi hal-hal kehidupan peribadi kepada umum tetapi ada hadnya.
“Maafkan saya sekiranya ada pihak yang terasa dan menganggap saya seperti cuba ingin melarikan diri,” katanya.
Diana ditemui selepas majlis resepsi perkahwinannya bersama Farid Kamil Zahari di Taman Ekuestarian Putrajaya, dekat sini, pada malam Sabtu.
Tambah Farid pula, dia pada mulanya tidak menyangka bahawa isterinya berkongsi berita gembira itu di Instagram begitu cepat namun menganggap ia sekadar keterujaan seorang wanita yang bakal bergelar ibu.
“Saya harap tiada siapa yang tidak berpuas hati dengannya apabila tidak menjawab panggilan media.
“Bukannya tak nak, saya sendiri tak sangka kandungannya itu sudah diumumkan di Instagram. Mungkin ia adalah perasaan keterujaan seorang wanita yang bakal menjadi ibu.
“Lagipun dia tidak menyorokkan diri daripada sesiapa kerana berita berbadan dua itu diumumkan sendiri olehnya,” ujar Farid.
Seramai 600 tetamu yang terdiri daripada kalangan orang kenamaan, para media, selebriti, rakan-rakan dan keluarga di kedua-dua belah pihak keluarga hadir ke majlis resepsi itu yang bertemakan ‘Barbeque Wedding’.
Pasangan itu mula memasuki perkarangan Taman Ekuestarian pukul 9 malam dengan menaiki pedati kuda diiringi pegawai khas unit berkuda PDRM (Polis DiRaja Malaysia).
Diana anggun dengan gaun mewah rona putih rekaan MimpiKita serta disolek oleh Chot manakala Farid pula cukup segak dengan pakaian beruniform khas yang ditempah sendiri.
Walaupun majlis tersebut mempunyai masalah bekalan elektrik sepanjang acara berlangsung, pasangan itu tetap bersyukur apabila kesemua tetamu dapat meraikan hari istimewa tersebut bersama-sama mereka.
“Alhamdulillah, majlis resepsi berkonsepkan taman dengan selitan unsur-unsur formal menjadi.
“Cuma saya terkejut apabila majlis ini bertukar dengan cahaya gelap gara-gara tiada elektrik.
“Tetapi saya dan Diana tetap bersyukur kerana para tetamu hadir untuk meraikan kami dengan meriahnya. Mujurlah kami mengenakan pakaian bewarna putih pada malam ini (Sabtu),” seloroh Farid.
Sepanjang majlis berlangsung pasangan itu dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi Adira, Amir Jauhari dan Zul Huzaimi.
Malah pertunjukan formasi oleh beberapa kuda dengan aksi menarik turut menghiburkan pasangan Raja Sehari itu serta para tetamu termasuklah selebriti yang hadir seperti Maya Karin, Fazura, Sazzy Falak dan Ummi Nazeera.
Sementara itu, majlis resepsi kedua pula akan diadakan di kampung halaman Farid di Jitra, Kedah. Bagaimanapun pasangan itu belum menetapkan tarikh.
Majlis resepsi pertama ini bakal ditayangkan secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) pada 9 Disember ini, pukul 9 malam.
Pasangan yang telah menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun itu diijabkabulkan pada 3 November lalu di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur. – Informasi Dot My