Menggunakan kipas tangan merupakan cara yang mudah dan murah untuk menyejukkan badan. Bagaimanapun, di Sepanyol terdapat tradisi yang unik melibatkan alat itu.
Menurut seorang pembuat kipas tangan tradisional berkenaan, Vincent Benlloch, 55, kipas tangan sering digunakan sebagai simbol atau isyarat untuk menunjukkan sesuatu tanpa perlu berkata-kata.
“Isyarat kipas itu akan lebih ketara jika ia dibuat oleh seorang wanita. Ia umpama bahasa badan yang memberi maksud si wanita tadi sudah mempunyai pasangan atau belum,” kata Vincent yang berasal dari Valencia, Sepanyol.
Walaupun kipas tangan terkenal di China, Korea dan Jepun sebagai instrumen untuk tarian, kisah kipas tangan masyarakat Sepanyol pada kurun ke-17 dan 18 juga tidak kurang hebatnya.
“Namun, tradisi yang digelar abanico itu lebih popular bagi menandakan sama ada wanita Sepanyol itu sudah berpunya atau belum. Sebagai contoh, jika mereka memegang kipas dalam keadaan tertutup itu bermakna mereka ingin dicium.
“Jika kipas dibuka pada pergelangan tangan kiri bermaksud wanita itu enggan berkenalan dengan lelaki yang cuba memikat,” ujarnya.
Merancakkan cerita, Vincent memberitahu, kalau si wanita membuka kipas itu dan meletakkannya di pipi kanan bererti dia mencintai seseorang.
Tutur Vincent, tradisi itu tidak terhad pada wanita yang masih bujang dan muda bahkan meliputi mereka yang sudah berumur atau telah bercerai.
“Sebagai contoh, jika wanita itu menggerakkan kipas secara perlahan-lahan di dadanya bermaksud dia belum menjadi kepunyaan orang.
“Tetapi sekiranya dia telah berpunya atau bersuami, kipas akan digerakkan dengan laju di dadanya, jadi lebih baik anda jangan menghampirinya,” ujarnya.
Jelasnya, sekiranya pasangan atau suami wanita itu berlaku curang, kipas itu akan diletakkan di muncung hidungnya.
“Malah, kalau mahu membuat janji temu sekali pun, alat itu hanya perlu ditunjukkan pada taman atau lokasi pertemuan.
“Saat paling indah ialah jika kipas tangan itu dibuka menutupi mulutnya sambil memandang lelaki di hadapan dengan cara menggoda. Itu bermakna dia bersedia untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut,” ujar Vincent.
-Kosmo
0 komentar:
Posting Komentar